BAB 1



PENDAHULUAN



1.1 Pengenalan

Pentaksiran Berasaskan Sekolah” (PBS) merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah di mana dirancang, ditadbir, diskor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). PBS merupakan salah satu komponen pentaksiran yang dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Surat Pekeliling Ikhtisas, Bilangan 11/2007 bertarikh 9 Julai, demi menjamin kualiti pelaksanaan PBS, mekanisma penyelarasan dan pemantauan akan dilaksanakan untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahan skor pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah. Menurut Buku Panduan Pelaksanaan PBS (2007) yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, PBS dilaksanakan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Dalam PMR dan SPM, PBS terdiri daripada 5 bentuk iaitu projek, kerja kursus, ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS), pentaksiran Lisan Berasaskan sekolah (PLBS) dan modul.

Tujuan PBS ialah supaya dapat merealisasikan matlamat KBSM, objektif kurikulum, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). PBS juga dapat mempertingkatkan pembinaan modal insan, boleh memantau perkembangan modal insan pelajar dan penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran. Senario pendidikan kini amat memerlukan supaya guru-guru mata pelajaran PBS lebih kreatif dan inovatif supaya pengajaran dan pembelajaran mereka lebih efektif. Kreatif bermaksud kebolehan seseorang itu untuk boleh mencipta, menghasilkan sesuatu dan memperkembangkan sesuatu. Manakala inovatif pula ialah kebolehan seseorang menghasilkan dan memulakan sesuatu yang baru sama ada dalam bentuk kaedah, sistem pendekatan dan sebagainya (Mohd Azhar, 2004).

Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia, daripada Surat Pekeliling Menengah, 2007, sekolah wajib melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi semua mata pelajaran yang mempunyai komponen kerja kursus, amali, projek, modul dan ujian lisan. Pelaksanaan Kerja Kursus Teknologi Kejuruteraan (TK), Lukisan Kejuruteraan (LK), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Lanskap dan Nurseri (LAN) serta Kemahiran Hidup (KH) mestilah dijalankan mengikut Jadual Kerja dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. PBS mesti dilaksanakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Keputusan calon akan terjejas sekiranya calon tidak melaksanakan kerja kursus atau tiada markah kerja kursus. Setiap calon mesti mempunyai semua markah dan pencapaian PBS setelah tamat tempoh pelaksanaannya.

Justeru itu, mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menginginkan pelajar-pelajar dilahirkan sebagai pelajar cemerlang dan bersifat global. Katanya sebagai permulaan, Kementerian akan memperkenalkan dan mengguna pakai penilaian yang berasaskan sekolah. Untuk itu beliau sangat-sangat berharap mendapat sokongan dan diterima oleh kelompok yang terbabit seperti ibubapa, guru-guru dan pentadbiran sekolah.

Akhbar Star bertarikh 21 Mac, 2006 memaparkan artikel tentang Datuk Seri Hishamuddin yang mengulas lanjut tentang pelaksanaan sistem penilaian yang berasaskan sekolah dan bukan berorientasikan peperiksaan hanya akan berjaya jika mendapat sokongan sepenuhnya dari semua pihak. Kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan sama sekali sistem peperiksaan di peringkat awam sebaliknya sedang mengkaji dan menilai sistem pendidikan supaya tidak terlalu berorientasikan peperiksaan. Beliau mengatakan kementeriannya sedang mengkaji sistem peperiksaan yang diamalkan sekarang supaya ia berasaskan sekolah dan lebih holistik. Menurutnya sistem penilaian dan peperiksaan masa kini perlu dinilai semula. Antara cadangan beliau ialah mengurangkan bilangan mata pelajaran dalam peperiksaan awam, lebih menekankan kepada kemahiran dan keupayaan kepakaran daripada memfokus hanya kepada pencapaian cemerlang. Beliau juga mencadang agar isi kandungan kurikulum mata pelajaran menggalakkan pencapaian dalaman dari segi kepakaran dalam sesuatu bidang umpamanya mata pelajaran seperti Kemahiran Hidup, Pendidikan Jasmani serta memperbaiki kaedah pembelajaran dan pengajaran melalui galakan dan dorongan lebih kepada memperbanyakkan kerja-kerja tugasan projek. Justeru itu, penekanan patut diberi lebih kepada pencapaian pelajar secara individu daripada pencapaian sekolah dalam mana-mana peperiksaan awam.



1.2 Latar belakang Masalah

Pencapaian dalam peperiksaan umum iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah petunjuk utama peningkatan pencapaian pelajar dan tahap keberkesanan sesebuah sekolah dan guru. Sekolah yang berkualiti adalah sekolah yang dilengkapkan dengan berbagai kemudahan fizikal dan berbekalkan guru-guru yang berpengalaman, sudah semestinya menghasilkan peratus kelulusan yang tinggi dan bilangan pelajar yang ramai mencapai keputusan cemerlang. Pencapaian dalam peperiksaan, umumnya merupakan kayu pengukur keberkesanan dan mutu sekolah dan guru (Mohamad Sulaiman, 1998). Setiap pelajar haruslah sentiasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan yang akan dilalui kerana dalam alam persekolahan satu daripada bukti pencapaian dan kejayaan pelajar ialah berjaya dalam peperiksaan (Ee Ah Meng, 1997).

Segala aktiviti yang dijalankan di sekolah menggambarkan amalan mereka yang mengutamakan peperiksaan. Pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM terpaksa melalui cabaran-cabaran yang bertimpa-timpa iaitu menduduki ujian bulanan, peperiksaan percubaan atau peperiksaan setara di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah. Di samping itu, pihak sekolah berusaha tanpa jemu menyediakan pelajar-pelajar dengan pelbagai aktiviti seperti kelas tambahan, klinik mata pelajaran, dan bengkel-bengkel teknik menjawab soalan peperiksaan bagi membuat persiapan menghadapi peperiksaan.

Strategi pengajaran guru adalah penting. Bagi memastikan objektif pengajaran tercapai, seorang guru itu sendiri mesti tahu bagaimana mahu mengurus, mentadbir serta mengawal pelajar di dalam kelas bagi memastikan isi kandungan pelajaran dapat difahami oleh semua pelajar. Selaras dengan hasrat Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dan Falsafah Pendidikan Negara (FPN), strategi pengajaran dan pembelajaran hendaklah memberi penekanan kepada kesepaduan di antara perolehan pengetahuan, penguasaan kemahiran saintifik dan pemupukan nilai murni yang dilakukan secara terancang, sama ada secara langsung atau tidak langsung dan bersahaja (Laporan Jawatankuasa Kabinet,KPM, 1979). Guru disarankan menjadi seorang tenaga pengajar yang kreatif dalam menggabungjalin antara pengetahuan, kemahiran saintifik dan nilai murni dalam pengajaran mereka. Guru seharusnya sentiasa berjaya dalam mewujudkan suasana pembelajaran aktif di dalam kelas untuk mengelakkan kebosanan dalam kalangan pelajarnya.

Namun begitu, didapati pelajar-pelajar kurang memberi tumpuan dan sambil lewa dalam menyiapkan kerja kursus atau projek kemahiran mereka, maka keadaan ini banyak membantutkan keberkesanan perjalanan PBS ini. Pelajar-pelajar yang sentiasa bertukar sekolah kerana mengikut ibu bapa dan keluarga seringkali menghadapi masalah dalam menyiapkan dan mengumpulkan markah PBS mereka. Kerja tidak siap, tertangguh atau hilang menyebabkan pelajar-pelajar merasa bosan dan malas untuk menyiapkan tugasan seterusnya. Kes sebegini memerlukan pelajar-pelajar tersebut mengulang semula hasil kerja mereka dari awal sehingga selesai. Ini membosankan mereka dan akhirnya bertindak tidak mahu menyiapkan dan menerima markah seadanya.

Bagi pihak guru pula ada yang hilang kesabaran untuk menunggu dan mengutip hasil kerja pelajar mereka. Apabila timbul kejadian yang sebegini, maka mulalah ternampaknya sikap seorang guru yang sudah putus asa dan mengalah dengan sikap pelajar mereka.

Sistem penilaian dan pentaksiran sedia ada sebenarnya sedang diteliti semula. Kementerian sedang menilai kesesuaian sebagai contoh mengubah cara kita menilai pencapaian pelajar kita dengan mengubah penekanan dalam peperiksaan awam daripada terlalu berasaskan kandungan kepada yang lebih berasaskan kemahiran, atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada yang bersifat ujian kebolehan. Kerajaan juga sedang mencari kaedah pentaksiran yang mampu menggalakkan pembinaan jati diri pelajar-pelajar dalam mata pelajaran tertentu .

Sistem pentaksiran berasaskan sekolah bukanlah perkara baru bagi warga pendidikan. Pendekatan ini telah pun diamalkan secara berperingkat oleh sekolah terutama yang melibatkan mata pelajaran bersifat amali. Namun apabila Kementerian Pelajaran membuat keputusan menjadikan sistem pendidikan negara tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, pendekatan ini dilihat oleh Kementerian sebagai perlu diperluaskan melibatkan beberapa mata pelajaran lain.

Usaha mengurangkan pendidikan berorientasikan peperiksaan turut mengambil kira cadangan lain seperti termaktub dalam hala tuju Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Namun begitu menurut keputusan laporan analisa peperiksaan PMR tahun 2007 dan 2008 dari Lembaga Peperiksaan Malaysia, pelajar-pelajar bertanggapan negatif terhadap PBS ini. Apabila pentaksiran dilakukan di sekolah, ianya adalah asas modal insan yang dapat membentuk suatu ‘mind set’ dalam kalangan pelajar dan ibu bapa sebagai pusat ilmu. Pelajar tidak lagi ke sekolah hanya kerana peperiksaan. Sistem pentaksiran ini tidak bermaksud sama sekali memansuhkan peperiksaan tetapi merupakan usaha membangunkan sistem yang menggalakkan pelajar mencintai ilmu. Apa yang berlaku ialah pelajar-pelajar tidak tahu menghargai pandangan tersebut malah menjadi semakin bertanggapan negatif dalam hal ini.

Menurut laporan Majlis Kaunselor Pelajar Malaysia (2007) , pelajar-pelajar menjadi semakin malas dan kurang berusaha ke arah mempertingkatkan modal insan dalam diri mereka. Kurangnya tekanan dalam menelaah pelajaran secara total demi peperiksaan menyebabkan pelajar-pelajar kita kurang berusaha keras kerana dengan adanya Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang banyak membantu mereka untuk lulus dalam peperiksaan. Kelihatan guru yang lebih beriya-iya untuk menjalankan PBS ini semata-mata kerana ingin memenuhi syarat lulus pelajar dalam peperiksaan sedangkan pelajar sambil lewa sahaja. Maka dengan itu berlakulah keadaan pelaksanaan PBS yang agak hambar . Apabila berlaku keadaan ini, maka semangat guru juga turut hambar.


Pelajar-pelajar yang bermasalah dibenarkan meniru hasil kerja pelajar-pelajar lain atau pelajar-pelajar tahun sebelumnya demi untuk menyiapkan kerja projek mereka dan ada penilaian serta pemarkahan. Di sini kita dapat lihat tidak ada keberkesanannya penilaian dan pentaksiran ini. Berikutan dengan keadaan itu, penilaian ini melihatkan kurangnya keadilan terhadap pelajar yang betul-betul melaksanakan kerja mereka dengan bermati-matian untuk memperolehi markah dan gred yang tinggi. Maka dengan itu, keadaan ini menyebabkan sikap guru turut berubah. Guru-guru PBS juga bertanggapan pelajar-pelajar boleh menghantar kerja secara ala kadar sahaja. Guru menyedari bahawa tiada faedahnya memaksa pelajar-pelajar dalam pelaksanaan PBS ini. Maka dengan itu guru-guru juga menunjukkan sikap sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh. Ini membawa kepada sikap negatif dalam kalangan guru-guru.



1.3 Penyataan Masalah

Bertitik tolak dari keujudan PBS ini, penyelidik ingin memastikan apakah masalah yang dihadapi oleh guru-guru PBS sehingga pelaksanaannya agak hambar. Adakah faktor jantina, pengalaman dan pengkhususan memberi kesan yang ketara dalam pelaksanaan PBS ini dan membawa keberkesanannya dalam sistem pendidikan kita. Penyelidik ingin mencari jawapan kepada persoalan adakah pelaksanaan PBS ini, sistemnya menyusahkan guru sehingga mereka bersikap negatif terhadap pelaksanaannya. Adakah berlaku keadaan yang hambar dalam pelaksanaan PBS ini disebabkan oleh guru-guru kurang menerima latihan atau pendedahan dari segi kursus sepanjang perkhidmatan mereka dalam bidang perguruan.

Penyelidik ingin menyelami persepsi guru-guru tentang pelaksanaan PBS di sekolah. Penyelidik juga ingin mencari apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh guru-guru dalam pelaksanaan PBS ini. Penyelidik juga ingin melihat apakah PBS ini benar-benar memberi kesan kepada sistem pendidikan kita dan perlu diteruskan. Tidak lupa juga penyelidik ingin mendapatkan cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam meningkatkan mutu PBS di masa akan datang.



1.4 Objektif Kajian

Hasil dari kajian yang dijalankan penyelidik berharap agar dapat :
1. Menjelaskan tentang latihan atau kursus yang pernah dihadiri oleh guru dalam melaksanakan PBS di sekolah.
2. Mengkaji persepsi guru terhadap pelaksanaan PBS di sekolah.
3. Mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh guru dalam pelaksanaan PBS di sekolah.




1.5 Persoalan Kajian


Dalam kajian ini, persoalan yang ingin dikenalpasti oleh penyelidik adalah seperti berikut:
1. Apakah latihan atau kursus yang pernah dihadiri oleh guru dalam melaksanakan PBS di sekolah?
2. Apakah persepsi guru-guru terhadap pelaksanaan PBS di sekolah.
3. Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru dalam pelaksanaan PBS di sekolah.


1.6 Kepentingan Kajian

Penyelidik menyedari kajian tentang PBS ini belum pernah dibuat yang berkaitan dengan sikap guru dalam pelaksanaannya. Penyelidik ingin mengkaji adakah berbaloi pelaksanaan PBS ini jika diteruskan di sekolah dengan keadaan guru yang sudah mula menunjukkan sikap negatif. Di mana hala tujunya yang sebenar dan apakah dengan pelaksanaan PBS ini, sistem pendidikan kita benar-benar berjaya mendalami hasrat ingin menanam kebolehan pelajar dalam kemahiran yakni yang bersifat ujian pencapaian kemahiran daripada ujian kebolehan. Penyelidik juga ingin tahu adakah PBS ini boleh membantu dalam menjadikan pelajar-pelajar lebih berkeyakinan diri dan mempunyai jati diri yang lebih mantap selain daripada menghasilkan pelajar-pelajar yang lebih berkebolehan bekerja di samping berilmu pengetahuan yang tinggi.

Kajian ini diharap dapat memberi sumbangan kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri serta pentadbir sekolah bagi mempertingkatkan cara penilaian dan pentaksiran dalam PBS ini. Demi untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar dan juga dapat mencari suatu penyelesaian bagaimana untuk mengubah sikap guru yang memandang ringan terhadap ‘Pentaksiran Berasaskan Sekolah”.

PBS juga diharapkan dapat merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara yang berusaha memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek , rohani, emosi dan jasmani. Oleh itu hasil kajian ini diharapkan dapat memberi maklumat kepada pihak Kementerian Pelajaran tentang masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah dan guru-guru.

Dapatan kajian ini juga boleh dijadikan maklum balas kepada pihak pentadbir sekolah iaitu Ketua-ketua Bidang, Ketua-ketua Panitia berserta guru-guru di bawah bidang dan panitia masing-masing tentang punca masalah guru-guru bersikap negatif dalam melaksanakan PBS yang boleh menyebabkan kurang berkesannya PBS dijalankan di sekolah. Selain daripada itu, diharapkan laporan kajian ini akan menjadi panduan atau rujukan kepada sekolah lain yang menghadapi masalah yang sama.



1.7 Skop Dan Batasan Kajian

Kajian ini akan dijalankan di salah sebuah sekolah menengah harian di daerah Gombak, Selangor. Sekolah ini dipilih bagi memudahkan penyelidik memantau guru-guru yang melaksanakan PBS dengan pelajar-pelajar mereka. Oleh kerana kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti persepsi dan masalah guru-guru terhadap keberkesanan PBS, maka kajian ini hanya terbatas kepada 5 orang guru yang mengajar mata pelajaran teknik dan vokasional. Mereka adalah kumpulan yang telah melaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah seperti kerja kursus atau folio.

Faktor yang mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah hanya akan ditinjau di peringkat sekolah sahaja. Faktor-faktor luaran yang kemungkinan ada mempengaruhi pelaksanaannya tidak termasuk dalam skop kajian ini. Data-data yang diperolehi adalah terhad kepada soal selidik dan temubual sahaja. Disebabkan bilangan sampel adalah kecil, maka hasil dari kajian ini tidak dapat digeneralisasikan kepada semua guru teknik dan vokasional di seluruh Malaysia.

1.8 Definisi Operasional Kajian



1.8.1 Penilaian


Menurut Abu Bakar Nordin (1986) dalam bukunya Asas Penilaian Pendidikan menyatakan konteks membuat penilaian dapat dimaksudkan sebagai satu proses yang meliputi penentuan objektif, pengutipan maklumat dan pembentukan kesimpulan. Apabila proses ini berjalan dengan sistematik dan saintifik , maka keputusan yang dibuat akan lebih tepat dan dengan itu dapat memenuhi tujuan keputusan dibuat. Ornstein dan Hunkins (1998) , mendefinisikan penilaian sebagai suatu proses atau proses-proses yang dilakukan untuk mengumpulkan data yang membolehkan sesuatu keputusan dibuat seperti samada untuk menerima, mengubah atau menghapus sesuatu iaitu kurikulum secara umum atau kaedah secara khusus.



1.8.2 Penilaian Prestasi Pelajar


Leap dan Crino (1993) mendefinisikan penilaian prestasi pelajar sebagai proses pengukuran pencapaian prestasi kerja dari segi kuantitatif dan kualitatif. Kedua-dua aspek ini penting untuk membangunkan motivasi pekerja dan memperbaiki prestasi dan hasil kerja individu dalam organisasi. Kedua-dua aspek pencapaian samada dari segi subjektif dan objektif yang meliputi pencapaian, gelagat dan sikap hendaklah diambil kira.

Sosson (1991) menjelaskan bahawa penilaian prestasi merupakan proses di mana prestasi semasa pekerja diperhatikan dan dibincangkan untuk tujuan meningkatkan lagi tahap keberkesanan bekerja.Dalam pendidikan, penilaian berasaskan prestasi adalah satu bentuk pengujian yang menghendaki pelajar melaksanakan sesuatu tugasan dan pencapaian pelajar dinilai dari kebolehannya melaksanakan tugasan yang telah diberikan.

Penilaian pendidikan yang sistematik mengandungi satu tafsiran format tentang nilai fenomena pendidikan secara lebih luas. Penilaian pendidikan itu mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat pengajaran. Dalam prosedur penilaian mengandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran, penganalisaan dan penyimpulan

Pentaksiran berasaskan sekolah menggunakan pendekatan rujukan kriteria yang menjurus kepada penjaminan kualiti (KPM, 1999). Proses pentaksiran ini adalah berdasarkan pada cirri-ciri am berikut :

● holistik
● berasaskan elemen
● menggunakan pelbagai instrumen
● berpusatkan pelajar

Berdasarkan ciri-ciri am tersebut, pentaksiran dikendalikan oleh guru, rakan sepembelajaran atau pelajar sendiri untuk mengukur kebolehan pelajar menguasai elemen kemahiran seperti contohnya dalam PEKA seperti kemahiran proses sains, kemahiran manipulatif dan kemahiran menyiasat (KPM, 1999).


1.8.3 Persepsi


Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1992), persepsi bermaksud penanggapan atau pencerapan seseorang dalam mengemukakan pandangan tersendiri. Persepsi guru di sini adalah merujuk kepada pandangan guru tersebut dalam situasi yang berkaitan dengan perkara yang dibincangkan. Hal-hal yang berkaitan dengan pentaksiran berasaskan sekolah ini melalui pencerapan dan pengalaman yang telah guru-guru tersebut lalui selama ini.

Freud S., (1949), mengemukakan pendapat unsur-unsur pertama bagi semua pengetahuan terdiri daripada persepsi-persepsi mudah yang diterima secara pasif oleh manusia. Beliau membezakan dua jenis persepsi iaitu ‘impressions’ dan ‘ideas’. Perbezaan antara kedua-duanya ialah pada darjah kekuatan dan kejelasan yang dialami oleh minda sewaktu ia terjadi. Persepsi yang memasuki minda dengan kuat dan jelas disebut ‘impressions’, manakala ‘ideas’ adalah imej-imej kabur dalam pemikiran yang dihasilkan oleh ‘impressions’ yang kemudian bergabung dengan akal. Persepsi menentukan apa yang ‘dilihat’. Persepsi ialah tafsiran apa yang dilihat oleh mata atau dengan lain perkataan persepsi ialah makna yang diberikan pada apa yang mata saksikan. Beberapa orang yang menyaksikan perkara yang sama mungkin memberi tafsiran yang berbeza. Oleh itu pengertian mereka berlainan. Dengan demikian setiap orang daripada mereka berperilaku secara yang berbeza.

Menurut Azlina Abu Bakar (2002), persepsi mempunyai empat sifat iaitu i) persepsi sentiasa berada dalam keadaan berubah-ubah ii) persepsi adalah bersifat peribadi . Setiap orang mempunyai persepsi sendiri. Persepsi seseorang tiada kaitan dengan persepsi orang lain dan persepsi mereka tidak serupa. Dalam situasi yang sama, dua orang akan mempunyai persepsi yang berlainan. iii) Persepsi bersifat berterus-terusan akhir sekali iv) Persepsi kita bersifat selektif.


1.8.4 Pentaksiran Berasaskan Sekolah


Petaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah di mana dirancang, ditadbir, diskor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). PBS merupakan salah satu komponen pentaksiran yang dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.**



1.9 Penutup


Pelaksanaan sistem pentaksiran berasaskan sekolah akan memberi cabaran besar kepada pihak sekolah. Atas keperluan ini, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) berusaha menyediakan aspek pembangunan prasana yang teliti. Kaedah penilaian dan pentaksiran yang bersesuaian untuk menilai pencapaian pelajar juga dirangka.

Mana-mana faktor yang boleh menjejaskan atau menggangu gugat kelancaran pentaksiran berasaskan sekolah perlu ditangani. Oleh sebab itu kajian ini perlu diteliti dengan jayanya.


.